Kincir Air Melayu: Satu Kajian Awal

Sawah padi yang menghasilkan padi, sumber makanan ruji di alam Melayu, memerlukan air yang banyak terutama pada waktu menanam semaian padi. Walaupun hujan turun sepanjang tahun dan cukup untuk menanam padi di alam Melayu, sawah padi yang jauh dari sungai atau yang dekat dengan sungai tetapi luas, masih memerlukan penyaloran air yang banyak dari sungai (Wan Ramli Wan Daud 1993). Petani Melayu menyelesaikan masalah pengairan ini dengan membina empangan dalam sungai daripada balak, kayu dan batu hingga setinggi 5 m untuk menakung air dan membina terusan dan pembuluh air untuk mengalirkan air sungai dari empangan ke sawah (Wan Ramli Wan Daud 1993). Jika empangan tidak cukup tinggi untuk menghantar air ke sawah yang jauh atau luas, atau aras air sungai terlalu rendah untuk empangan, petani Melayu juga membina kincir air untuk mengangkat air dari sungai ke aras tinggi yang membolehkan air disalorkan ke sawah yang jauh (Wan Ramli Wan Daud 1993).